Pages

Tuesday, March 30, 2010

Jenayah Penipuan Kad Kredit





Berdasarkan penulisan blog yang telah mengambil sumber dari akhbar Harian Metro, ia telah membangkitkan isu tentang pemalsuan, kecurian kad kredit, menyalahgunakan harta dengan curang, pecah amanah jenayah dan persubahatan dari aspek Undang-Undang Siber di Malaysia.


Isu ini telah dibangkitkan akibat terdapatnya kes-kes penyelewengan dalam penggunaan kad kredit yang semakin berleluasa ini. Isu pertama yang dapat dikupas di sini adalah isu berkaitan kecurian. Di dalam kes ini, kegiatan mencuri data kad kredit adalah semakin berleluasa dalam pelbagai transaksi seperti urusan tempahan syarikat penerbangan, penginapan hotel, pakej pelancongan dan pembelian komputer serta peralatan elektrik.


Jika dilihat pada kes di atas, kecurian yang terlibat adalah berkaitan kecurian maklumat pemilik kad kredit berkenaan. Kecanggihan teknologi sindiket pemalsuan kad kredit ini telah membekalkan juruwang dengan alat pengimbas data yang canggih dan lebih kecil dari saiz kotak rokok 20 batang untuk meleretkan kad kredit mangsa. Kemudian, data tersebut akan dihantar kepada sindiket melalui pelbagai cara seperti email dan sms untuk mengklonkan kad kredit atau membuat tempahan online. Hal ini menunjukkan bahawa jenayah curi telah dilakukan oleh pihak yang mengambil data yang rahsia berkaitan kad kredit itu tanpa keizinan pemilik kad kredit tersebut.


Menurut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang berkaitan menyalahgunakan harta dengan curang, memperuntukkan bahawa 'Barangsiapa dengan curangnya menyalahgunakan atau menjadikan bagi kegunaannya sendiri atau menyebabkan mana-mana orang melupuskan apa-apa harta hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda. Kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang tidak perlu diambil dari pemilikan mangsa, cukup sekadar harta itu telah disalahgunakan dengan curang oleh penjenayah. Oleh itu, perbuatan menyalahgunakan harta dengan curang merujuk kepada perlakuan menggunakan harta yang bukan harta kepunyaan sendiri malah harta orang lain untuk faedah dan kegunaan sendiri.


Perkataan 'harta' di sini menurut Akta Intrepetasi mencakupi harta alih dan juga harta tidak alih. Oleh yang demikian, kecurian maklumat kad kredit milik pemilik kad kredit tersebut boleh diklasifikasikan sebagai curi yang melibatkan data-data yang tidak dapat dilihat secara zahir. Jika jenayah curi maklumat atau data dalam komputer boleh berlaku dengan menggunakan komputer, maka adalah tidak mustahil bahawa jenayah menyalahgunakan harta dengan curang juga boleh berleluasa menggunakan komputer. Sehubungan itu, sesiapa yang bertanggungan melakukan jenayah ini boleh diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dengan sebat dan denda.


Selain itu juga, elemen jenayah pecah amanah dalam kategori kecurian ini juga telah timbul. Hal ini adalah apabila kebanyakan kes kecurian data kad kredit membabitkan penjualan nombor kad bersama CVV (nombor tiga digit pengesahan nilai kad) kepada sindiket atau pihak pengguna data curi itu oleh juruwang baik di pusat hiburan, restoran, pusat tumpuan pelancong hingga ke pasar raya. Malah ada juruwang bersubahat dengan sindiket pemalsuan kad kredit dengan mendapat upah RM2bagi setiap slip jualan yang mencatatkan nama, tarikh tamat tempoh kad kredit selain catatan tambahan nombor CVV manakala di pusat hiburan upah juruwang boleh mencapai RM50 setiap akaun. Jika dikaitkan dengan kes di atas, juruwang yang bekerja dengan pusat membeli belah mahupun pasar raya tersebut mempunyai amanah yang perlu dijaga terhadap pihak majikan mereka.


Seksyen 405 Kanun Keseksaan telah memperuntukkan tentang jenayah pecah amanah. Perkataan 'amanah' dalam peruntukkan ini merujuk kepada semua keadaan di mana seseorang telah diamanahkan itu menyalahgunakan atau menjadikan harta itu seperti kepunyaannya sendiri, maka ia bolehla didakwa dengan pecah amanah di bawah seksyen ini. Peruntukkan ini dapat diilustrasikan dalam kes Gan Beng v Pendakwa Raya [1938] FMSLR 318. Orang yang dituduh dalam kes ini telah meminjam sebuah basikal daripada mangsa dan tidak memulangkannya kepada mangsa sebagaimana yang dujanjikan. Hakin Murray-Aynsley memutuskan bahawa si tertuduh bersalah melakukan pecah amanah kerana transaksi pinjaman yang berbentuk bailment sedemikian juga adalah terjumlah kepada suatu amanah, dan si tertuduh telah menyalahgunakan harta amanah tersebut dengan tidak memulangkan harta itu sebagaimana yang dijanjikan.


Oleh yang demikian, elemen persubahatan adalah terpakai di dalam kes ini yang juga telah diperuntukkan di dalam Seksyen 7(1) Akta Jenayah Komputer 1997. Jika dirujuk pada peruntukkan Kanun Keseksaan, perbuatan persediaan melakukan jenayah sahaja tidak tertakluk pada melakukan jenayah, namun begitu jika dibandingkan dengan Akta Undang-Undang Siber, persediaan melakukan jenayah itu sudah termasuk pada kesalahan jenayah.


Selain itu juga, elemen pemalsuan juga telah wujud dalam kes ini. Jenayah pemalsuan menggunakan komputer ini biasanya melibatkan penggunaan kata laluan. Dalam kes ini, jenayah pemalsuan telah dilakuan oleh sindiket kad kredit yang menggunakan kata laluan orang lain tanpa keizinan tuan punya sama ada mendapat capaian biasa kepada sesuatu komputer atau untuk mendapatkan perkhidmatan percuma tanpa bayaran (kerana tuan punya kata laluan itu akan bertanggungan membayar perkhidmatan yang digunakan) atau melarikan diri daripaa tanggungan tertentu seperti hutang kad kredit tersebut. Ianya telah diperuntukkan di dalam Seksyen 463 Kanun Keseksaan yang berkaitan tentang pemalsuan. Tambahan pula, perkataan 'suratan palsu' yang terdapat dalam peruntukkan di atas adalah merujuk kepada maksud dokumen palsu yang saling berkait dengan kes pemalsuan kad kredit di dalam kes yang dibincangkan di sini.

0 comments:

Post a Comment